Friday 30 December 2011

MESYUARAT JAWATANKUASA QARYAH MASJID HJ SAAD

Tarikh    : 31 Disember 2011 (Sabtu)
Masa     :  Selepas solat Isyak
Tempat  : Masjid Hj Saad

Agenda mesyuarat:
  1. Ucapan aluan Pengerusi Qaryah
  2. Membentang dan mengesahkan Minit Mesyuarat yang lalu.
  3. Program 2012
  4. Laporan kewangan
  5. Perkara berbangkit
  6. Hal-hal lain
  7. Mesyuarat ditangguh
Kehadiran semua ahli jawatankuasa Qaryah Masjid Hj Saad sangat diharapkan untuk menjayakan mesyuarat ini demi kepentingan seluruh Qaryah. Sekian harap maklum.

Friday 23 December 2011

KELEBIHAN & KEBERKATAN HARI JUMAAT

Pengenalan
Begitu besarnya hikmah hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan. Pada waktu inilah nilai manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan takwa terbit tanpa disedari. Oleh hal yang demikian itu, hari Jumaat dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah S.A.W.


Penghulu Segala Hari
Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul Aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” Katanya Rasulullah SAW bersabda: Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.
Kelebihan Hari Jumaat
Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu 
1)  Allah ciptakan Adam , 
2)  Allah turunkan Nabi Adam  ke bumi,
3) Allah mematikan Nabi Adam, 
4)  Pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. 
5)  Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.
( Riwayat Hadis Muslim)
Dalam hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Tirmidzi).
Kelebihan Solat Jumaat
Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Selain itu, hari Jumaat juga merupakan satu hari yang cukup mustajab dan istimewa untuk kita semua berdoa meminta pertolongan, nur dan hidayah daripada Yang Maha Esa.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.
Malaikat Turun ke Bumi
Setiap hari Jumaat, Allah S.A.W  mengutuskan  malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah S.W.T mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.
Pada hari Jumaat juga, Allah S.W.T mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“ Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”
Kesimpulan
  • Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.
  • Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.
  • Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

MISTERI SURAH YASSIN

Misteri Surah Yasin


Sebahagian umat Islam di negara kita hari ini apabila membaca al-Qur’an, kebiasaannya mereka akan lebih sinonim, kenal, dan rapat dengan surah Yasin berbanding surah-surah yang lainnya. Sehingga ada hari-hari khusus bagi membaca dan mengamalkan surah Yasin ini.
Surah Yasin juga sinonim dengan malam Jumaat, sehingga diadakan majlis-majlis khas bacaan berjama’ah dari rumah ke rumah dan kenduri makan-makan.
Persoalannya, kenapa tidak surah lain dan hanya surah Yasin? Kenapa tidak surah al-Baqarah, atau Ali ‘Imran, atau al-Mu’minuun, atau ar-Rahman, atau rangkaian surah-surah dalam Juz ‘Amma seperti an-Naba’, al-Fajr, atau al-Kaafiruun, atau al-Ikhlas misalnya? Kenapa Mesti pula hari Juma’at?
Selain itu, surah Yasin turut sering dikaitkan dengan pelbagai misteri lainnya. Seperti untuk mencari barang yang hilang, untuk mengiringi orang mati, untuk membuat “air Yasin”, bacaan ketika masuk rumah baru, untuk memudahkan jodoh, untuk mengirimkan pahala kepada orang mati, untuk sambutan majlis-majlis tertentu seperti nisfu Sya'ban dan seumpamanya yang selainnya.
Malah surah Yasin juga telah pun dibukukan dan diterjemahkan secara berasingan menjadi buku-buku khusus seperti buku bersaiz poket, buku cenderamata, buku zikir, dan turut dimasukkan ke dalam pakej tahlilan. 
Tidak pernahkah kita terfikir, dari mana datangnya ketetapan bagi Surah Yasin seperti ini? Dari al-Qur’an? Dari sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? Atau dari amalan para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in?
Anjuran Membaca al-Qur’an Jika yang dimaksudkan adalah galakkan dalam membaca al-Qur’an, maka di sana terdapat anjuran yang banyak tanpa ditentukan surah yang mana serta tidak juga dikhususkan dengan hari yang mana. Antaranya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

 مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
“Sesiapa membaca satu huruf dari Kitabullah (al-Qur’an), maka baginya satu pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi sepuluh kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 10/153, no. 2835)
 Juga sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

 الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
“Orang yang mahir membaca al-Qur’an, maka kedudukannya di akhirat ditemani oleh para malaikat yang mulia. Dan orang yang berusaha membaca al-Qur’an dengan gagap (tersangkut-sangkut), ia sukar dalam membacanya, maka ia mendapat dua pahala.” (Hadis Riwayat Muslim, 4/219, no. 1329)
Tapi persoalannya, kenapa ramai yang mengkhususkan hanya surah Yasin, dan tidak surah yang lain? 
Fadhilat Surah Yasin
Sebenarnya Surah Yasin adalah sama pentingnya sebagaimana surah-surah yang lainnya. Ia mengandungi ayat-ayat Allah sebagaimana surah-surah lain. Membacanya termasuk ke dalam keumuman dalil-dalil anjuran membaca al-Qur’an sebagaimana membaca surah-surah yang lain juga. Tiada fadhilat khusus bagi surah Yasin berbanding surah-surah yang lainnya.
Para ulama hadis menjelaskan bahawa hadis-hadis berkaitan fadhilat Yasin tidak terlepas sama ada dhaif (lemah) atau maudhu’ (palsu). Maksudnya, tiada dalil yang sahih menetapkan fadhilat surah Yasin secara khusus. Sebagai contoh, di antara hadis yang popular tentang surah Yasin ini adalah hadis Qalbul Qur’an (jantung atau hati al-Qur’an). Riwayat hadis tersebut adalah sebagaimana berikut:

 حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ وَسُفْيَانُ بْنُ وَكِيعٍ قَالَا حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الرُّؤَاسِيُّ عَنْ الْحَسَنِ بْنِ صَالِحٍ عَنْ هَارُونَ أَبِي مُحَمَّدٍ عَنْ مُقَاتِلِ بْنِ حَيَّانَ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ
Telah mengkhabarkan kepada kami, Qutaibah dan Sufyan B. Waqiq. Daripada Humaid B. 'Abdurrahman ar-Ru'asi, daripada Hasan B. Soleh, daripada Harun Abi Muhammad, daripada Muqatil B. Hayyan, daripada Qotadah, daripada Anas (bahawasanya):
Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki hati dan hati bagi al-Qur'an itu adalah Yasin. Sesiapa yang membacanya, maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca al-Qur'an sepuluh kali.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadhail al-Qur’an. Ad-Darimi, Sunan ad-Darimi, 10/311, no. 3479.
Setelah Imam at-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) membawakan hadis ini, beliau pun berkata, “Hadis ini gharib (asing, tidak dikenali). Pada sanadnya terdapat Harun Abi Muhammad, beliau seorang yang majhul (tidak dikenali). Juga diriwayatkan oleh ad-Darimi, dan pada sanadnya dhaif.” (Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadha’il al-Qur'an)
Kalaupun sahih hadis ini, maka ia tetap bukan dalil untuk mengkhususkan surah Yasin dengan pengkhususan-pengkhususan tertentu seperti bacaan khas malam Juma’at, untuk menjampi air, dan sebagainya.
Bukan Untuk Orang Mati
Surah Yasin juga sering dikaitkan dengan kematian. Dalam perkara ini terdapat beberapa hadis tetapi ianya tidak lepas dari kelemahan atau kepalsuan (maudhu’). Di antara hadisnya adalah sebagaimana yang datang dari jalan (sanad) Sulaiman at-Taimi, daripada Abu ‘Utsman (bukan an-Nahdi), daripada ayahnya, daripada Ma’qil B. Yasar, beliau mengatakan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

 اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس
“Bacakanlah ke atas mereka yang mati surah Yasin.” Atau:
 اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس
“Bacakanlah Yasin ke atas mereka yang mati.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, dan al-Hakim. Rujuk: Talkhis al-Habir oleh al-Hafiz Ibnu Hajar, 2/244)
Hadis ini lemah dengan beberapa sebab sebagaimana dinyatakan oleh para ulama hadis, antaranya pada sanadnya terdapat perawi bernama Abu ‘Utsman dan ayahnya. Mereka ini adalah perawi yang majhul (tidak dikenali). Hadis ini juga dikategorikan sebagai hadis mudhtharib, iaitu tidak kukuh sanadnya
Di antara ulama hadis yang menegaskan kelemahan hadis ini adalah seperti Imam ad-Daruquthni (Wafat: 285H), Abu Bakar Ibnul ‘Arabi (Wafat: 543H), an-Nawawi (Wafat: 676H), Ibnul Qaththan (Wafat: 813H), al-Hafiz Ibnu Hajar (Wafat: 852H), al-Albani dan ramai lagi selainnya. (lihat: Ibnu Hajar, Talkhis al-Habir, 2/244. An-Nawawi, al-Adzkar, m/s. 122. Al-Albani, Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah wal-Maudhu’ah, 12/783)
Imam ad-Daruquthni rahimahullah (Wafat: 285H) mengatakan, “Tiada satu hadis pun yang sahih dalam bab ini.” Iaitu tiada satu hadis pun yang sahih yang menganjurkan membaca Yasin kepada orang mati.
Begitu juga dengan hadis:

 وَيس قَلْبُ الْقُرْآنِ لَا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَالدَّارَ الْآخِرَةَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ وَاقْرَءُوهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ
“....Surah Yasin adalah qalbul Qur’an (jantung atau hati al-Qur’an), tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan Allah dan negeri akhirat (Syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di antara kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Al-Qur’an Untuk Yang Hidup

Masyarakat Melayu terkenal membacakan Surah Yasin untuk orang mati atau yang sedang nazak menghadapi sakaratul maut. Tapi ironinya, selama kita membaca atau menghafal surah Yasin, pernahkah kita memahami dan menghayati apa yang terkandung di dalam ayat-ayatnya? Bukankah di dalam Surah Yasin terdapat ayat:
 إِنْ هُوَ إِلا ذِكْرٌ وَقُرْآنٌ مُبِينٌ لِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِرِينَ
“al-Qur’an itu tidak lain, ia adalah peringatan dan kitab yang memberi penjelasan. Supaya ia menjadi peringatan UNTUK ORANG-ORANG YANG HIDUP dan sebagai perkataan yang haq ke atas orang-orang kafir.” (Surah Yasin, 36: 69-70)
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkaitan ayat ini:

 أي: لينذر هذا القرآن البيّن كلّ حي على وجه الأرض
“Maksudnya supaya peringatan al-Qur’an ini menjadi bukti yang nyata bagi setiap yang hidup di atas muka bumi ini.” Beliau juga mengatakan:
 وإنما ينتفع بنذارته من هو حَيّ القلب، مستنير البصيرة، كما قال قتادة: حي القلب، حي البصر. وقال الضحاك: يعني: عاقلا
“Orang yang dapat mengambil manfaat peringatan dari al-Qur’an adalah orang-orang yang hidup hatinya dan yang terang pandangannya. Sebagaimana kata Qotadah, “Hati yang hidup adalah dengan hidupnya pandangan.” Juga sebagaimana kata adh-Dhahhak, “Iaitu orang yang berakal.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/592)
Ini menegaskan bahawa al-Qur’an ini adalah untuk orang-orang yang hidup, iaitu untuk orang-orang yang beriman dan mereka yang mahu mengambil pelajaran. Bukan untuk orang yang telah mati. Termasuklah surah Yasin, ia pelajaran untuk orang yang hidup.
Sekiranya setiap surah atau ayat-ayat al-Qur’an tertentu itu mahu dikhususkan dengan kelebihan-kelebihan khusus, maka kita perlu mengkhususkannya berdasakan dalil dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kita tidak boleh menetapkan atau mengkhususkannya dengan akal, sangkaan, atau hawa nafsu. Kerana agama kita ini tidak sampai kepada kita secara misteri, sebaliknya datang dengan hujah dan dalil yang jelas.
Walaupun tiada dalil yang sahih tentang fadhilat Yasin secara khusus, termasuk fadhilat membacanya pada hari Juma’at, ini bukan bermakna ia tidak boleh dibaca pada hari Juma’at. Surah Yasin tetap dibaca sebagaimana surah-surah yang lain juga cuma tidaklah perlu dikhususkan pada hari-hari tertentu atau dengan kaedah-kaedah khusus tertentu.
Adapun bacaan Surah secara khusus pada hari Juma’at yang padanya disebutkan kelebihannya dari sunnah sebenarnya adalah Surah al-Kahfi, namun ianya sering dilupakan oleh masyarakat kita. Ini sebagaimana Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

 مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ
“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Juma’at, Allah akan meneranginya dari cahaya di antara dua Juma’at.” (Hadis Riwayat an-Nasaa’i dan al-Baihaqi. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Wallahu a’lam...

Wednesday 17 August 2011

MEMPERINGATI HARI NUZUL AL-QURAN

Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Thursday 4 August 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK


Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala mengkhususkan bulan Ramadhan dari bulan-bulan yang lainnya. Diantara kekhususan dan keutamaan Ramadhan antara lain:

(1). Bau mulut orang yang berpuasa, lebih harum di sisi Allah, daripada minyak wangi kasturi.

(2). Para malaikat senantiasa mendoakan ampunan bagi orang yang berpuasa sampai dia berbuka puasa.

(3). Dibukanya pintu-pintu syurga dan ditutupnya pintu-pintu neraka.

(4). Terdapat Lailatul Qadar, yaitu suatu malam yang lebih baik dari pada seribu bulan

(5). Terdapat ampunan bagi orang yang berpuasa

(6). Diikatnya syaitan

Bersama-samalah kita merebut peluang untuk meningkatkan amal ibadat di bulan yang mulia ini. Hidup hanya sekali, jangan sia-siakan kehidupan kita. Selamat Berpuasa.

Wednesday 1 June 2011

Renung-renungkan...

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
 
"Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun."  


(Hadis riwayat Imam Tirmizi) 

~Kembalilah pada Allah Swt walau sehebat mana ujian dan keluh kesah yang dilalui. Kembalilah jua pada Allah Swt ketika di waktu gembira kerana itu juga merupakan ujian dan sesungguhnya kegembiraan itu juga hadir dengan keizinanNya~

Tuesday 31 May 2011

TAMBAH REZEKI DENGAN BERKAHWIN


Islam sebagai satu jalan dan cara hidup komprehensif memberi penekanan penting meletakkan garis panduan serta piawaian tinggi yang terperinci bagi membimbing manusia ke arah keredaanNya.
Dalam Islam, perkahwinan dan hubungan suami isteri serta seisi keluarga adalah perkara mulia dipandang penting.
Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri.
Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, contohnya keperluan ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup serta keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang.
Oleh itu, semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan." (Surah al-Rum, ayat 21)
Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga.
Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu.
Ia dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." (Surah al-Nur, ayat 32)
Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan dan persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.
Panduan itu diberikan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Wahai orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) dapat mengawal mata dan kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam sebenarnya tidak menggalakkan umatnya mengambil sikap berkecuali dengan tidak mementingkan urusan perkahwinan. Rasulullah SAW pernah menggambarkan kegembiraan Baginda di akhirat dengan bilangan umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan umatnya.
Sabda Baginda SAW bermaksud: "Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak." (Riwayat Ahmad)
Namun begitu, kita perlu melihat dengan lebih terperinci bahawa apa yang menjadi impian Rasulullah SAW adalah umatnya ramai, berkualiti, mempunyai jati diri Muslim sebenar.
Apakah yang dikatakan perkahwinan itu? Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islamiy meletakkan definisi perkahwinan atau al-nikah sebagai 'satu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan bukan muhrim, menimbulkan hak dan kewajipan antara kedua-dua mereka.'
Menerusi definisi ini, beberapa perkara penting dapat dikeluarkan:
# Pertama, perkahwinan menyatukan antara dua insan yang saling menyintai dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam Islam. Ia berkait perjanjian dengan Allah untuk menjaga perkara yang digariskan antara mereka selepas akad dilaksankan. Justeru, perkahwinan mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga di sepanjang prkahwinan berlangsung.
# Kedua, adalah jelas bahawa perkahwinan hanya boleh berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Dengan itu, Islam tidak membenarkan hubungan sesama muhrim walaupun mereka saling mencintai seperti anak dan bapa, adik beradik, anak saudara dengan bapa saudara dan sebagainya. Termasuklah hubungan muhrim yang terbina dari pertalian darah, susuan dan persemendaan.
# Ketiga, hanya selepas wujudnya akad perkahwinan, barulah wujud hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk tunaikan dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk tunaikan. Hak anak yang lahir selepas ikatan itu menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk tunaikan. Istilah tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar, perkara yang ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas, jika gagal maka ada pertanggungjawaban di hadapan Allah di akhirat kelak terhadap pengabaian dan kegagalan itu. Itulah elemen keagamaan dan ketundukan kepada Allah di dalam perkahwinan.
# Keempat, definisi itu juga menjelaskan bahawa pasangan yang belum berkahwin, sama ada yang sedang bercinta atau bertunang, belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka. Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh bebas bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi melakukan hubungan kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah. Inilah yang paling ketara antara perkahwinan di sisi pandangan barat dan Islam. Bagi golongan barat, apabila pasangan saling cinta mencintai, maka hubungan kelamin adalah suatu yang lumrah. Agama tidak mempunyai peranan dalam pembawaan dan keputusan dibuat. Kerana itu, melakukan hubungan kelamin, mempunyai anak sebelum berkahwin adalah perkara bukan mengaibkan atau pelik dalam masyarakat mereka. Islam tidak membenarkan kita menyerupai dan mengambil langkah seperti mereka.
# Kelima, akad perkahwinan adalah ikatan murni antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga. Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Barat menerima perkembangan yang berlaku di mana lelaki boleh berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita. Ia kerana perkahwinan bagi mereka adalah titik akhir penzahiran kecintaan antara dua insan. Tidak ada hubung kait dengan elemen keagamaan. Sedangkan Islam sama sekali tidak mengiktiraf hubungan gay atau lesbian. Bahkan Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki.
# Keenam, perkahwinan adalah ikatan suci yang bukan saja menggabungkan dua insan, tetapi dua keluarga dan keturunan. Maka silaturahim antara manusia akan berkembang dan kehidupan lebih berseri.

Monday 16 May 2011

RENUNGKANLAH!



Dari Abu Hurairah ra ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: " Di antara tanda-tanda telah hampirnya hari kiamat ialah akan timbulnya pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaanya seperti bertelanjang

Friday 15 April 2011

Berdoa Tanda Bersyukur Kepada Allah Untuk Diri Sendiri, Ibu bapa, Isteri dan Anak-anak

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang hamba Allah S.W.T. kita perlu berdoa kepada-Nya untuk bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kita dan kepada kedua ibu bapa kita dan segala kebaikan itu akan berterusan hingga kepada zuriat keturunan kita. Berdoalah setiap hari ketika lepas solat.

"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam"

Intisari doa ini terdapat di dalam ayat al-Quran surah al-Ahqaf ayat 15.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)."

Berdoa untuk mendapat isteri yang solehah dan anak-anak yang soleh dan solehah :

"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa."

Intisari doa ini terdapat di dalam surah al-Furqan ayat 74.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.

Oleh itu amalkanlah doa ini setiap hari terutama selepas solat kerana banyak kebaikannya untuk diri kita, kedua ibu bapa, isteri dan anak-anak dan zuriat keturunan kita.

Friday 25 March 2011

Jutawan Segera!

Salam aleik.

Wahai Muslimin dan Muslimah sekalian, di manakan Al-Quran dalam hati anda semua?
Mari kita renungkan kita di takuk yang mana di sisi Allah SWT.

1. Golongan Jutawan - Pembaca 300 hingga 299 ayat Al-Quran setiap malam.

2. Golongan Jayawan - Pembaca 200 hingga 299 ayat Al-Quran setiap malam.

3. Golongan Setiawan - Pembaca 100 hingga 199 ayat Al-Quran setiap malam.

4. Golongan Pemelihara - Pembaca 50 hingga 99 ayat Al-Quran setiap malam.

5. Golongan Ingat - Pembaca 10 hingga 49 ayat Al-Quran setiap malam.

6. Golongan Lalai - Pembaca 0 hingga 9 ayat Al-Quran setiap malam.

Mudah-mudahan kita berjaya menjadi jutawan di sisi Allah SWT sebelum tamat tempoh percubaan kita di dunia ini. InsyaAllah.

Thursday 17 March 2011

Kelebihan Zikir 'Laailaha illallah'


Di mana sahaja dan pada apa sahaja masa hendaklah baca zikir ‘Laailaha illallah’ dengan banyaknya kerana kelebihanya :

Kelebihan:

1. Di dalam hadis bahawa zikir yang tidak terhad kepada sebarang masa, tempat dan alasan ialah ‘Laailaha illallah’. Ia merupakan zikir yang cemerlang. Di dalam hadis yang lain bahawa ia adalah bentuk kebaikan yang tertinggi.

2. Di dalam hadis yang lain bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya : “Pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas”.

3. Di dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam”.

4. Di dalam hadis lain terdapat: Orang yang membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dari hatinya, ia pasti akan memasuki Syurga walaupun ia melakukan dosa seperti berzina dan mencuri, walaupun ia melakukan zina dan mencuri. (Nabi s.a.w. telah mengulangkannya sebanyak tiga kali)

5. Hadis lain: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu sentiasa perbaharui iman kamu". Para sahabat Rasulullah s.a.w. berkata "Wahai Rasulullah s.a.w. bagaimanakah kami perbaharui iman kami?" Rasulullah s.a.w. menjawab "Ucapkanlah Laailaha illallah sebanyaknya".

6. Hadis lain: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :"Tiada yang dapat menghalang kalimah ‘Laailaha illallah’ sampai kepada Allah".

7. Hadis lain:" Zikir ‘Laailaha illallah’ tidak akan meninggalkan satu dosa pun di belakang dan tiada satu amalan yang menyamainya."

8. Hadis lain: "Jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di satu dacing dan dengan kalimah ‘Laailaha illallah’ diletakkan di atas dacing yang lain, maka (kalimah) lebih berat lagi."

9. Dalam hadis : "Apabila seorang hamba mengucapkan kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan ikhlas hati, maka pintu langit terbuka bagi kalimah ini sehingga ia sampai ke Arasy, dengan syarat ia menjauhkan diri dari dosa besar."

10. Kalimah “La ilaha illallah” ini adalah kunci syurga.

Diriwayatkan oleh Abu Dzar r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah tidak membenarkan seseorang masuk ke Neraka jikalau dia mengucapkan kalimah tauhid ini berulang-ulang kali.”



Wednesday 16 March 2011

Adab-Adab Mengambil Wudhuk

Kita mengambil WUDHUK sebelum melakukan ibadat-ibadat wajib mahupun sunat.

Adab-adab ketika mengambil wuduk juga haruslah dijaga supaya wuduk kita lebih sempurna dan segala amalan yang kita lakukan diterima Allah s.w.t. InsyaAllah.

Di antara adab-adab ketika mengambil wuduk adalah:-

1) Membersih mulut dan gigi seperti berkumur dan bersugi. Ianya amat dituntut dalam Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Kalaulah tidak kerana menyusahkan umatku nescaya aku menyuruh mereka bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang.”

2) Bersugi adalah sunat dengan menggunakan kayu sugi atau alat sugi yang boleh membersihkan (berus gigi). Seperti hadis Rasulullah di atas, kita dapat lihat pentingnya bersugi sebelum berwuduk.

3) Sesudah itu, ambil wuduk dengan khusyuk tanpa lalai dan leka. Sesetengah ulamak meminta supaya membaca doa di setiap anggota yang dibasuh dan disapu.

Ketika mengambil wuduk mulakan membaca:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang. Hai Tuhan, aku minta berlindung dengan Engkau dari gangguan syaitan dan aku minta berlindung dengan Engkau, hai Tuhan dari mereka datang kepadaku.”

4) Membasuh dua tangan. Baca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku meminta dari Engkau kesempurnaan dan keberkatan dan aku minta perlindungan dengan Engkau dari kecelakaan dan kebinasaan.”

5) Berkumur dan membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, tolonglah aku membaca kitab Engkau, banyak berzikir kepada Engkau dan tetapkanlah aku dengan kata-kata yang tetap di dunia dan di akhirat.”

6) Ketika memasukkan air ke dalam hidung, baca doa: “Hai Tuhan, berikan kepadaku bau-bauan syurga dan Engkau reda kepadaku.”

7) Ketika mengeluarkan air dari hidung hendaklah membaca doa: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari bauan neraka dan kesiksaan neraka.”

8) Sesudah itu berniat mengambil wuduk, kemudian membasuh muka dan berdoa: “Hai Tuhan, bercahayalah mukaku dengan cahaya Engkau pada hari bercahayanya muka wali-wali Kamu dan janganlah kamu menggelapkan mukaku dengan kegelapan Engkau pada hari menjadi hitam muka musuh-musuh Kamu.”

9) Ketika membasuh tangan hingga ke siku, baca doa; bagi tangan kanan-Hai Tuhan, serahkanlah rekod amalanku melalui tangan kananku dan perhitungkanlah aku secara mudah.” Manakala ketika membasuh tangan kira, baca doa: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari Engkau serahkan buku rekodku melalui tangan kiriku atau dari belakang.”

10) Ketika menyapu kepala hendaklah kamu membaca: “Hai Tuhan, litupilah aku dengan rahmat Engkau, turunkan keberkatan Engkau kepada aku, lindungilah aku dibawah baying arasy Engkau pada hari yang tidak ada sebarang perlindungan kecuali lindungan bayangan Engkau. Hai Tuhan, peliharalah rambutku dan kulitku daripada api neraka.”

11) Dan ketika menyapu dua telinga, bacalah: “Hai Tuhan, jadikanlah aku dari kalangan orang yang mendengar perkataan maka mengikut yang baiknya. Hai Tuhan perdengarkanlah aku malaikat yang menyeru ke syurga, di syurga bersama-sama orang yang baik-baik.”


Kemudian, ketika membasuh kaki kanan hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, tetapkanlah kakiku di atas titian Siratul Mustaqim bersama tetapnya kaki hamba-hambamu yang soleh.”

Manakala ketika membasuh kaki kiri hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku minta berlindung dengan Engkau dari tergelincirnya kakiku di atas titian Sirat ke dalam neraka pada hari tergelincirnya kaki-kaki orang munafik dan musyrik.”

12) Dan akhir sekali, setelah selesai mengambil wuduk, membaca doa yang membawa maksud: Hai Tuhan, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bertaubat, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bersih dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang soleh.”
Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud "Tidaklah salah orang di antara kamu berwudhu', maka ia sempurnakan wudhu'nya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu Syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya."
(Hadis Riwayat Muslim )

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Jika seorang hamba yang Muslim atau Mukmin berwudhu', ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama tetes air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau tetes terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau tetes terakhir air, sampai ia selesai wudhu' dalam keadaan bersih dari dosa."
(Hadis Riwayat Muslim).

Salam Blogging!

Alhamdulilah, setelah sekian lama berusaha, akhirnya Masjid Hj Saad , Tanah Liat kini telah mempunyai laman blognya sendiri. Mungkin ada banyak kekurangan untuk blog yang pertama kali diusahakan ini. Tapi InsyaAllah, hari demi hari dengan tunjuk ajar dari para ilmuwan dunia blogging dan dengan kesempatan masa yang diberikan oleh Allah s.w.t, blog ini akan diperkemaskan mutu persembahannya sesuai dengan keperluan dunia teknologi maklumat yang berkembang setiap hari dengan begitu pantas sekali.

Kepada semua para ilmuwan dunia blog, rajin-rajinlah memberi tunjuk ajar kepada pihak kami. InsyaAllah dengan tunjuk ajar kalian, blog ini mampu menjadi pemangkin kepada seluruh masjid di Pulau Pinang khasnya untuk mewujudkan unit teknologi maklumat di setiap masjid masing-masing. Sesungguhnya apa yang kita lakukan ini demi manfaat bersama.
Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :


Tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya.


Sekian.