Friday 25 March 2011

Jutawan Segera!

Salam aleik.

Wahai Muslimin dan Muslimah sekalian, di manakan Al-Quran dalam hati anda semua?
Mari kita renungkan kita di takuk yang mana di sisi Allah SWT.

1. Golongan Jutawan - Pembaca 300 hingga 299 ayat Al-Quran setiap malam.

2. Golongan Jayawan - Pembaca 200 hingga 299 ayat Al-Quran setiap malam.

3. Golongan Setiawan - Pembaca 100 hingga 199 ayat Al-Quran setiap malam.

4. Golongan Pemelihara - Pembaca 50 hingga 99 ayat Al-Quran setiap malam.

5. Golongan Ingat - Pembaca 10 hingga 49 ayat Al-Quran setiap malam.

6. Golongan Lalai - Pembaca 0 hingga 9 ayat Al-Quran setiap malam.

Mudah-mudahan kita berjaya menjadi jutawan di sisi Allah SWT sebelum tamat tempoh percubaan kita di dunia ini. InsyaAllah.

Thursday 17 March 2011

Kelebihan Zikir 'Laailaha illallah'


Di mana sahaja dan pada apa sahaja masa hendaklah baca zikir ‘Laailaha illallah’ dengan banyaknya kerana kelebihanya :

Kelebihan:

1. Di dalam hadis bahawa zikir yang tidak terhad kepada sebarang masa, tempat dan alasan ialah ‘Laailaha illallah’. Ia merupakan zikir yang cemerlang. Di dalam hadis yang lain bahawa ia adalah bentuk kebaikan yang tertinggi.

2. Di dalam hadis yang lain bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya : “Pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas”.

3. Di dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam”.

4. Di dalam hadis lain terdapat: Orang yang membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dari hatinya, ia pasti akan memasuki Syurga walaupun ia melakukan dosa seperti berzina dan mencuri, walaupun ia melakukan zina dan mencuri. (Nabi s.a.w. telah mengulangkannya sebanyak tiga kali)

5. Hadis lain: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu sentiasa perbaharui iman kamu". Para sahabat Rasulullah s.a.w. berkata "Wahai Rasulullah s.a.w. bagaimanakah kami perbaharui iman kami?" Rasulullah s.a.w. menjawab "Ucapkanlah Laailaha illallah sebanyaknya".

6. Hadis lain: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :"Tiada yang dapat menghalang kalimah ‘Laailaha illallah’ sampai kepada Allah".

7. Hadis lain:" Zikir ‘Laailaha illallah’ tidak akan meninggalkan satu dosa pun di belakang dan tiada satu amalan yang menyamainya."

8. Hadis lain: "Jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di satu dacing dan dengan kalimah ‘Laailaha illallah’ diletakkan di atas dacing yang lain, maka (kalimah) lebih berat lagi."

9. Dalam hadis : "Apabila seorang hamba mengucapkan kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan ikhlas hati, maka pintu langit terbuka bagi kalimah ini sehingga ia sampai ke Arasy, dengan syarat ia menjauhkan diri dari dosa besar."

10. Kalimah “La ilaha illallah” ini adalah kunci syurga.

Diriwayatkan oleh Abu Dzar r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah tidak membenarkan seseorang masuk ke Neraka jikalau dia mengucapkan kalimah tauhid ini berulang-ulang kali.”



Wednesday 16 March 2011

Adab-Adab Mengambil Wudhuk

Kita mengambil WUDHUK sebelum melakukan ibadat-ibadat wajib mahupun sunat.

Adab-adab ketika mengambil wuduk juga haruslah dijaga supaya wuduk kita lebih sempurna dan segala amalan yang kita lakukan diterima Allah s.w.t. InsyaAllah.

Di antara adab-adab ketika mengambil wuduk adalah:-

1) Membersih mulut dan gigi seperti berkumur dan bersugi. Ianya amat dituntut dalam Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Kalaulah tidak kerana menyusahkan umatku nescaya aku menyuruh mereka bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang.”

2) Bersugi adalah sunat dengan menggunakan kayu sugi atau alat sugi yang boleh membersihkan (berus gigi). Seperti hadis Rasulullah di atas, kita dapat lihat pentingnya bersugi sebelum berwuduk.

3) Sesudah itu, ambil wuduk dengan khusyuk tanpa lalai dan leka. Sesetengah ulamak meminta supaya membaca doa di setiap anggota yang dibasuh dan disapu.

Ketika mengambil wuduk mulakan membaca:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang. Hai Tuhan, aku minta berlindung dengan Engkau dari gangguan syaitan dan aku minta berlindung dengan Engkau, hai Tuhan dari mereka datang kepadaku.”

4) Membasuh dua tangan. Baca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku meminta dari Engkau kesempurnaan dan keberkatan dan aku minta perlindungan dengan Engkau dari kecelakaan dan kebinasaan.”

5) Berkumur dan membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, tolonglah aku membaca kitab Engkau, banyak berzikir kepada Engkau dan tetapkanlah aku dengan kata-kata yang tetap di dunia dan di akhirat.”

6) Ketika memasukkan air ke dalam hidung, baca doa: “Hai Tuhan, berikan kepadaku bau-bauan syurga dan Engkau reda kepadaku.”

7) Ketika mengeluarkan air dari hidung hendaklah membaca doa: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari bauan neraka dan kesiksaan neraka.”

8) Sesudah itu berniat mengambil wuduk, kemudian membasuh muka dan berdoa: “Hai Tuhan, bercahayalah mukaku dengan cahaya Engkau pada hari bercahayanya muka wali-wali Kamu dan janganlah kamu menggelapkan mukaku dengan kegelapan Engkau pada hari menjadi hitam muka musuh-musuh Kamu.”

9) Ketika membasuh tangan hingga ke siku, baca doa; bagi tangan kanan-Hai Tuhan, serahkanlah rekod amalanku melalui tangan kananku dan perhitungkanlah aku secara mudah.” Manakala ketika membasuh tangan kira, baca doa: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari Engkau serahkan buku rekodku melalui tangan kiriku atau dari belakang.”

10) Ketika menyapu kepala hendaklah kamu membaca: “Hai Tuhan, litupilah aku dengan rahmat Engkau, turunkan keberkatan Engkau kepada aku, lindungilah aku dibawah baying arasy Engkau pada hari yang tidak ada sebarang perlindungan kecuali lindungan bayangan Engkau. Hai Tuhan, peliharalah rambutku dan kulitku daripada api neraka.”

11) Dan ketika menyapu dua telinga, bacalah: “Hai Tuhan, jadikanlah aku dari kalangan orang yang mendengar perkataan maka mengikut yang baiknya. Hai Tuhan perdengarkanlah aku malaikat yang menyeru ke syurga, di syurga bersama-sama orang yang baik-baik.”


Kemudian, ketika membasuh kaki kanan hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, tetapkanlah kakiku di atas titian Siratul Mustaqim bersama tetapnya kaki hamba-hambamu yang soleh.”

Manakala ketika membasuh kaki kiri hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku minta berlindung dengan Engkau dari tergelincirnya kakiku di atas titian Sirat ke dalam neraka pada hari tergelincirnya kaki-kaki orang munafik dan musyrik.”

12) Dan akhir sekali, setelah selesai mengambil wuduk, membaca doa yang membawa maksud: Hai Tuhan, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bertaubat, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bersih dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang soleh.”
Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud "Tidaklah salah orang di antara kamu berwudhu', maka ia sempurnakan wudhu'nya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu Syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya."
(Hadis Riwayat Muslim )

Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Jika seorang hamba yang Muslim atau Mukmin berwudhu', ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama tetes air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau tetes terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau tetes terakhir air, sampai ia selesai wudhu' dalam keadaan bersih dari dosa."
(Hadis Riwayat Muslim).

Salam Blogging!

Alhamdulilah, setelah sekian lama berusaha, akhirnya Masjid Hj Saad , Tanah Liat kini telah mempunyai laman blognya sendiri. Mungkin ada banyak kekurangan untuk blog yang pertama kali diusahakan ini. Tapi InsyaAllah, hari demi hari dengan tunjuk ajar dari para ilmuwan dunia blogging dan dengan kesempatan masa yang diberikan oleh Allah s.w.t, blog ini akan diperkemaskan mutu persembahannya sesuai dengan keperluan dunia teknologi maklumat yang berkembang setiap hari dengan begitu pantas sekali.

Kepada semua para ilmuwan dunia blog, rajin-rajinlah memberi tunjuk ajar kepada pihak kami. InsyaAllah dengan tunjuk ajar kalian, blog ini mampu menjadi pemangkin kepada seluruh masjid di Pulau Pinang khasnya untuk mewujudkan unit teknologi maklumat di setiap masjid masing-masing. Sesungguhnya apa yang kita lakukan ini demi manfaat bersama.
Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :


Tidak ada kebijaksanaan yang lebih bernilai daripada tindakan yang sewajarnya.


Sekian.